Wednesday, 19 April 2017

Hang Tuah Bab 1

                       Bab 1 ( Asal-Usul Kerajaan Bentan)

     Bab 1 menceritakan asal usul Kerajaan Bentan. Kisah bermula ada seorang permaisuri dari keinderaan telah melahirkan seorang puteri iaitu Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam. Apabila Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam dewasa, ayahandanya telah menitahkan segala ahli nujum dan sasterawan untuk menilik akan kehidupan anaknya, dalam tilikan itu hendaklah Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam itu dihantar di Pulau Biram Dewa disana anaknya itu akan mendapat suami. Oleh itu, Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam pun tinggal bersama dayang-dayang di dalam istana yang dibina di Pulau Biram Dewa itu.

       Ada suatu kisah, Sang Perta Dewa iaitu raja keinderaan pergi berburu bersama dengan rakyat di Pulau Biram Dewa. Di Pulau Biram Dewa, Sang Perta Dewa terlihat sebuah istana yang diduduki oleh seorang puteri dan dayang-dayang. Sang Perta Dewa bertanya akan asal-usul puteri itu dari dayang-dayang istana. Maka apabila didengar oleh Sang Perta Dewa akan perkara itu, maka Sang Perta Dewa pun gembira lalu naik keinderaan dan membawa segala bunyi-bunyian untuk turun ke Pulau Biram Dewa. Mendengar bunyi-bunyian itu Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam tahulah bahawa Sang Perta Dewa itu raja keinderaan dan mereka pun berkahwin.

       Tidak lama kemudian, Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam melahirkan seorang putera yang bernama Sang Sapurba. Setelah itu, Sang Perta Dewa pun membawa Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam naik keinderaan serta dikendongnya gemala hikmat lalu istana pun ghaiblah. Di keinderaan, Sang Sapurba pun dewasa lalu Sang Perta Dewa menjadikan Sang Sapurba menjadi raja di Bukit Seguntang Mahabiru. Sang Sapurba pergi berburu di Bukit Seguntang Mahabiru, terlihat akan kolam lalu mandi . Dengan takdir Allah langit berguruh lalu turun dewa yang berupa lembu perak lalu muntah di tepi kolam. Lembu itu ghaib dan muntah itu menjadi seorang puteri yang cantik.

     Sang Sapurba membawa puteri jelmaan muntah lembu itu ke istana bersamanya. Sang Sapurba menitahkan seorang bentara untuk menyampaikan bahawa baginda memperoleh seorang puteri kepada ayahanda baginda di keinderaan. Ayahanda dan bonda baginda turun ke Bukit Seguntang Mahabiru apabila mendapat berita itu lalu mereka mengahwini Sang Sapurba dengan puteri itu. Maka beberapa lama kemudian, puteri jelmaan muntah lembu itu melahirkan 4 orang putera iaitu Sang Maniaka, Sang Jaya Nantaka, Sang Saniaka dan Sang Satiaka. Maka masyhurlah ke seluruh negeri akan Sang Sapurba beroleh 4 orang putera itu.

      Oleh itu, ramai juga orang dari negeri lain datang ke istana dengan niat hati menjadikan salah satu anak Sang Sapurba sebagai raja di negeri mereka. Lama-kelamaan 4 orang putera itu telah dewasa. Alkisah ada seorang nakhoda dari negeri Bentan ingin datang ke Bukit Seguntang Mahabiru untuk melihat rupa anak-anak Sang Sapurba itu. Dalam pelayaran itu nakhoda itu berhenti di suatu pulau kerana kehabisan kayu dan air. Pada waktu yang sama itu secara kebetulan 4 orang putera Sang Sapurba itu sedang bermain-main di pulau itu. Apabila dilihat oleh nakhoda, maka nakhoda pun berfikir budak 4 orang itu seperti anak-anak dewa lalu dihampirinya.

      4 orang putera itu berlari sembunyi di balik batu hampir telaga apabila menyedari ada seseorang datang. Nakhoda puas mencari budak 4 orang itu tetapi tidak terjumpa. Setelah itu, nakhoda itu pun sampai ke istana dan dipersilakan masuk oleh Sang Sapurba. Apabila hendak menghadap, Sang Sapurba dia terpandang akan budak 4 orang yang rupa parasnya hampir sama yang dijumpainya di pulau. Apabila dilihat oleh Sang Sapurba akan pandangan nakhoda itu, maka Sang Sapurba pun mengatakan budak 4 orang itu anak baginda. Setelah itu nakhoda pun minta izin pulang.

     Alkisah, orang-orang besar Singapore dan Bentan manghadap Sang Sapurba dengan niat untuk menjadikan salah satu anak baginda menjadi raja di negeri Bentan. Maka Sang Sapurba mnjadikan Sang Maniaka sebagai raja di Bentan. Setelah menjadi raja,Sang Maniaka memberi gelaran akan orang yang berasal. Diberinya gelaran Bendahara Paduka Raja, Perdana Menteri, Temenggung Seri Sarwa Diraja, Tun Pekerma. Digelar Tun Bija Sura, Tun Bija Diraja, Tun Dikungsa dan Tun Ratna Diraja sebagai hulubalang. Diberinya gelaran anak perawangan yang berasal, Tun Sang Aria, Sang Utama, Sang Jaya dan Sang Derma. Maka tersebar ke seluruh negeri dan pulau akan adanya raja yang baik hati di negeri bentan.

WATAK
Sang Perta Dewa,Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam,Sang Sapurba, Tuan Puteri Jelmaan Muntah Lembu, Sang Maniaka, Sang Jaya Nantaka, Sang Saniaka, Sang Satiaka, Nakhoda bentan, Pembesar-pembesar Singapore dan Bentan, Dayang-dayang dan inang pengasuh, Bendahara Paduka Raja, Temenggung Seri Sarwa Diraja

LATAR TEMPAT
Keinderaan, Pulau Biram Dewa, Istana, Bukit Seguntang Mahabiru, Bentan

No comments:

Post a Comment