Saturday, 2 December 2017

Hang Tuah Bab 7

                                                    Bab 7 ( Perkahwinan Raja Melaka)

Bab 7 mengisahkan perkahwinan raja Melaka dan Raden Emas Ayu di Majapahit. Namu tumpuan penceritaan lebih kepada percubaan-percubaan Patih Gajah Mada dan Betara Majapahit ingin membunuh Hang Tuah. Raja Melaka menyembahkan emas belanja kepada Betara Majapahit yang dibawa oleh Tun Utama, Patih Kerma Wijaya, Tun Bija Sura, Tun Ratna Diraja. Kedatangan mereka ke istana disambut oleh Betara Majapahit. Patih Gajah Mada menyembahkan titah Betara Majapahit kepada Raja Melaka agar Raja Melaka memulakan malam berjaga-jaga. Patih Gajah Mada menitahkan penjurit yang pandai bermain tombak dan pertikaman untuk membunuh Hang Tuah. Maka penjurit itu pun mencabar Hang Tuah bertikaman.

Dalam mereka bertikam itu, Patih Gajah Mada berpura-pura  menghalang dan memegang penjurit. Melihat hal ini Hang Jebat menyuruh Patih Gajah Mada melepaskan penjurit itu. Betara Majapahit berasa malu lalu menyuruh Patih Gajah Mada melepaskan saja penjurit itu. Hang Tuah berjaya menikam dada penjurit itu sehingga mati. Untuk menutup tembelang, Betara Majapahit berpura-pura berterima kasih dan memberi anugerah kepada Hang Tuah kerana jika tidak dibunuh, mungkin penjurit itu mengamuk naik ke peseban dan membunuh baginda.

Gelisah dengan kejadian, raja Melaka kembali ke istananya. Raden aria lalu menyusul dan menghadap raja Melaka serta memberi penjelasan bahawa semua yang berlaku adalah permainan Patih Gajah Mada. Kemudian Patih Gajah Mada pula menyusul dan mengadap raja Melaka serta beterima kasih kepada Hang Tuah. Dengan sinis Hang Tuah menegaskan bahawa penjurit itu lawan yang mudah sahaja, jika penggawa Majapahit sekalipun akan dihadapi Hang Tuah dengan mudah. Patih Gajah Mada tersipu-sipu malu mendengar kata-kata Hang Tuah lalu memohon pulang.

Raja Melaka datang mengadap ke istana Betara Majapahit, maka terdengarlah penjurit Taming Sari mengamuk dan membunuh raja-raja dan pembesar-pembesar istana. Betara Majapahit membawa raja Melaka masuk ke istana. Menyedari raja Melaka telah selamat masuk ke istana, Hang Tuah lalu berdepan dengan Taming Sari. Hang Tuah menikam Taming Sari tetapi tidak lut. Hang Tuah berfirasat keris itulah punca tikaman tidak mengenai tubuh Taming Sari lalu Hang Tuah cuba berikhtiar mengambil keris itu.

Hang Tuah mengajak Taming Sari bergabung untuk mengamuk dan merebut kuasa kerajaan Majapahit. Tanpa sedikit kesangsian Taming Sari bersetuju dengan rancangan Hang Tuah. Hang Tuah memberikan keris baharu yang lebih kukuh kepada Taming Sari dan mengatakan keris Taming Sari kurang kukuh. Taming Sari percaya kepada Hang Tuah lalu menyerahkan kerisnya. Sebaik sahaja mendapat keris itu, Hang Tuah terus menyerang Taming Sari sehingga tewas. Mayat Taming sari digantung di tengah pasar. Hang Tuah menyembahkan keris Taming sari ke hadapan Betara Majapahit. Betara Majapahit menganugerahkan keris Taming sari kepada Hang Tuah.

Dengan perkenan raja Melaka, Betara Majapahit menganugerahkan Hang Tuah gelaran Laksamana dan menganugerahkan sungai Jemaja. Sekembali di istana raja Melaka menjamu pembesar-pembesarnya dan memerintahkan agar Laksamana Hang Tuah makan sehidangan bersama Tun Bija Sura, Tun Utama dan Patih Kerma Wijaya kerana sudah setaraf selaku Laksamana. Kemudian muncul pula Patih Gajah Mada menjunjung Raja Melaka agar berangkat ke majlis persandingan esok hari. Dalam pada itu, Patih Gajah Mada dan Betara Majapahit terus merancang membunuh Hang Tuah. Sebaik sahaja majlis pernikahan dan persandingan diraja selamat disempurnakan, Hang Tuah 5 sahabat berguru kepada Sang Persata Nala di gunung Wirana Pura.

Beberapa hari berjalan, mereka terjumpa ajar-ajar di kaki gunung. Ajar-ajar itu memberitahu ada juga 70 orang anak raja-raja ingin berguru tetepi tidak diajar apatah lagi Hang Tuah 5 sahabat. Hang Tuah reda jika tidak diajar asalkan dia dapat bertemu dengan Sang Persata Nala. Maka sampailah Hang Tuah 5 sahabat ke dukuh Sang Persata Nala. Sang Persata Nala menyuruh Hang Tuah 5 sahabat makan apa saja buah yang ada di dukuh itu. Sang Persata Nala mengajar ilmu penjurit dan hulubalang dan memberikan lebih keistimewaan kepada Hang Tuah.

Sang Persata Nala berpesan kepada Hang Tuah agar tidak mengajarkan ilmunya kepada sesiapa sahaja dan jika dilanggar akan mendatangkan kebinasaan. Sang Persata Nala memberitahu Hnag Jebat bahawa dia akan beroleh kebesaran kembali dari Majapahit dan akan mati kerana senjata, Hang Kasturi akan beroleh kebesaran  tetapi tidak kekal menjadi hulubalang, Hang Lekiu dan Hang Lekir akan digelar oleh raja dan tiada dapat bercerai daripada raja. Selesai berguru Hang Tuah 5 sahabat kembali ke Majapahit. Ketiadaan mereka menimbulkan rasa kehairanan Patih Gajah Mada lalu Hang Tuah 5 sahabat berbohong mengatakan mereka jatuh sakit. Raden Aria tahu Hang Tuah 5 sahabat berguru kepada Sang Persata Nala.

Pancapersada yang dibina oleh Patih Gajah Mada telah siap lau dimandikan pula Raja Melaka dan Raden Emas Ayu didalamnya. Apabila tiba masa untuk makan minum Seri Betara Majapahit memberi Hang Tuah minum arak tetapi Hang Tuah tidak merasa mabuk manakala yang lain sudah merasa mabuk. Patih Gajah Mada merasa hairan akan Hang Tuah itu tiada mabuk.

WATAK
Patih Gajah Mada ,Seri Betara Majapahit, Patih Kerma Wijaya, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu, Hang Lekir, Raja Melaka, Raden Emas Ayu, Tun Utama, Tun Bija Sura, Tun Ratna Diraja, Raden Aria, Perajurit, Taming Sari, Ajar-ajar

LATAR TEMPAT
Majapahit,Gunung Wirana Pura,Dukuh

1 comment: